SEREMBAN – Dua beranak maut selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 10, Lebuh raya Seremban–Port Dickson arah selatan di sini tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, nahas pada pukul 12.15 tengah malam membabitkan motosikal SYM dan kereta Proton Preve itu turut menyebabkan seorang mangsa cedera parah.
Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu kereta berusia 46 tahun dan isteri memandu di lorong kiri dalam perjalanan menghala ke Seremban.
“Secara tiba-tiba motosikal ditunggang wanita berusia 40 tahun bersama dua anak berusia 12 dan 14 tahun memasuki laluan pemandu kereta. Keadaan itu menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal tersebut,” katanya kepada pemberita.
Katanya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dan anak perempuannya yang berusia 14 tahun maut di lokasi kejadian, manakala anak lelakinya parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan. Pemandu dan penumpang kereta cedera ringan. – KOSMO! ONLINE














