fbpx
Balveer Singh menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas susulan penahanan tiga warga tempatan dan 16 PATI Myanmar di Jitra pada Rabu lalu.

Bapa, anak perempuan 16 tahun dicekup angkut 16 PATI Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Tindakan seorang bapa membawa anak perempuan berusia 16 tahun untuk mengangkut 16 warga Myanmar yang diseludup masuk ke negara ini mengundang padah apabila mereka dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) di Plaza Tol Jitra, di sini Rabu lalu.

Turut ditahan dalam Op Taring Delta kira-kira pukul 4 pagi itu ialah seorang lagi lelaki berusia lingkungan 40-an.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, kejayaan tersebut adalah hasil operasi Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya bertindak menahan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Plaza Tol Jitra arah selatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang merupakan anak kepada salah seorang lelaki terbabit.

“Selain itu, terdapat 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di dalam dua kenderaan tersebut. Kesemua warga asing itu dipercayai masuk ke negara ini menerusi jalan yang tidak diwartakan dari negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu, di sini.

Menurut beliau, kumpulan warga asing yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh perempuan berusia antara 16 hingga 35 tahun.

“Dalam operasi itu, kita turut merampas kedua-dua kenderaan terlibat, 18 telefon bimbit pelbagai jenama, sejumlah wang tunai serta barangan kemas,” ujarnya.

Balveer Singh berkata, warga tempatan berkenaan disyaki berperanan sebagai ‘transporter’ dan menggunakan kenderaan yang disewa untuk melakukan kegiatan tersebut dengan upah tertentu sejak lapan bulan lalu.

Susulan tangkapan itu, pihaknya menahan seorang lagi lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 30-an di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang dipercayai ketua sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Tambahnya, empat suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 selama 28 hari, manakala warga asing direman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN