PETALING JAYA – Seorang wanita berang dengan tindakan pelajar yang dipercayai menolak rakannya ke jalan raya ketika bergurau kelmarin.
Menerusi hantaran pengguna Threads @Najihaaibrahim, dia terkejut dengan tindakan berbahaya pelajar sekolah itu sebelum mengelak dan membunyikan hon.
“Kenapalah bergurau macam ini, adik?,” katanya menerusi ruang kapsyen.
Rakaman papan pemuka (dashcam) kenderaan berdurasi 13 saat itu turut memaparkan pelajar tersebut segera menarik rakannya semula selepas tindakan gurauan berbahaya tersebut.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads berkongsi pengalaman terlanggar kanak-kanak secara tidak sengaja disebabkan gurauan.
“Dulu saya pernah terlanggar budak sebabkan gurauan begini. Rakannya tolak dia selepas saya sudah perlahankan kenderaan sebelum dia terjatuh di hadapan kereta dan cedera,” ujarnya.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi dalam kalangan netizen termasuk ada yang meluahkan rasa marah dengan tindakan tersebut yang dianggap berbahaya.
“Awak, tolong beritahu pihak sekolah sebab nampak seperti kes buli pun ada. Pelajar itu siap pegang baju rakannya sebelum tolak,” kata @Nur_elhani.
“Kesalahan pertama, kau hampir nak bunuh kawan kau. Kesalahan kedua, kau menyusahkan orang yang bawa kereta,” balas @Mndlibhn. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














