PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sekali lagi membuatkan hati peminatnya terus berbunga-bunga apabila mengakui pelakon dan penyanyi Bella Astillah sudah lama berada di dalam hatinya.
Perkara tersebut dituturkan Syed Saddiq selepas Bella bertanya sama ada dia boleh berada di dalam hatinya atau sebaliknya.
“Kita tak sampai ke puncak tapi sampai ke hati boleh?” soal Bella.
“Itu sudah lama (sampai ke hati), tidak perlu nak mendaki ke Gunung Kinabalu,” jawab Syed Saddiq yang tampan dalam persalinan baju Melayu berwarna merah jambu.
Perkara tersebut membuatkan peminatnya teruja selain menyifatkan Syed Saddiq sebagai lelaki yang romantis.
“Manisnya tengok mereka berdua, cepatlah kahwin.
“Tersengih-sengih seorang diri tengok video ini, cepatlah umum berita baik,” komen netizen.
Difahamkan Bella dan Syed Saddiq kini dalam misi untuk menawan puncak Gunung Kinabalu sekali lagi.
Tahun lalu, mereka berjaya tiba di puncak dengan memakai busana baju Kurung dan baju Melayu.
Lebih menarik, misi kali ini turut disertai anak lelaki Bella iaitu Ayden Adrean yang baru berusia sembilan tahun.
Terdahulu, keakraban Bella dan Syed Saddiq mencetuskan fenomena BASS sehingga mencipta kelompok peminat mereka sendiri.
Meski sehingga hari ini tiada pengesahan mengenai status hubungan mereka, rata-rata peminat tetap mendoakan hubungan Bella dan Syed Saddiq berakhir sehingga ke jenjang pelamin. – KOSMO! ONLINE














