ALOR SETAR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah menyasarkan usaha memenangkan kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini menerusi perancangan gerak kerja strategik yang lebih tersusun dan berkesan.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Bilangan 1/2026 semalam bagi meneliti serta memperkukuh hala tuju organisasi parti di peringkat negeri.
“Mesyuarat meneliti serta memperkukuh hala tuju organisasi parti di peringkat negeri, seiring keperluan memperkasa jentera dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik semasa serta mendatang.
“Tumpuan turut diberikan kepada perancangan gerak kerja strategik bagi memenangkan kembali kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di Kedah termasuk pengukuhan jentera pilihan raya, pemantapan agenda kebajikan rakyat serta pendekatan politik yang matang, berprinsip dan berpaksikan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tunku Nashrul berkata, mesyuarat antara lain membincangkan penstrukturan organisasi melalui gabungan kepimpinan berpengalaman dan baharu yang progresif bagi memperkukuh kekuatan parti serta meluaskan sokongan akar umbi.
Katanya, mesyuarat juga menekankan keperluan untuk menonjolkan secara berkesan kejayaan serta inisiatif Kerajaan Madani yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Kedah merangkumi aspek ekonomi, kebajikan, pendidikan, infrastruktur dan kesejahteraan sosial.
Dalam pada itu, beliau berkata, PKR Kedah akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab di DUN melalui pelaksanaan fungsi semak dan imbang yang konstruktif, berfakta dan berteraskan kepentingan rakyat.
PKR Kedah, katanya, bertekad untuk bergerak dengan pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan bagi memastikan parti itu kekal relevan sebagai wadah perjuangan rakyat, selaras dengan aspirasi reformasi dan tuntutan semasa masyarakat. – KOSMO! ONLINE














