PETALING JAYA – Padang Merbok yang sebelum ini dipagari dan ditutup kepada orang awam sejak Ogos 2022 akhirnya dibuka semula sepenuhnya, sekali gus mengembalikan akses kawasan itu kepada rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pagar yang dibina di bawah pentadbiran terdahulu telah diturunkan sepenuhnya pada 14 Januari lalu sebagai simbol komitmen Kerajaan Madani membetulkan perkara tidak wajar.
Menurutnya, Padang Merbok sejak sekian lama sememangnya menjadi milik rakyat dan penutupannya sebelum ini telah menafikan hak orang ramai untuk menggunakan ruang awam berkenaan.
“Sejak generasi ke generasi, Padang Merbok memainkan peranan penting dalam kehidupan warga Kuala Lumpur sebagai lokasi sukan, rekreasi serta perhimpunan aman,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Padang Merbok yang terletak berhampiran Dataran Merdeka dan Bangunan Parlimen turut mempunyai nilai nasional tersendiri, selain menjadi simbol pertemuan antara kehidupan komuniti dan ekspresi demokrasi.
“Dengan memulihkan Padang Merbok, kerajaan menyediakan ruang yang lebih selamat dan mudah diakses untuk rakyat berkumpul, di samping mengurangkan kesesakan serta melindungi kawasan warisan berhampiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














