fbpx
TAUFIQ menyampaikan amanat pada majlis pertemuan bersama atlet dan jurulatih di MSN Bukit Jalil semalam.

Malaysia mahu juara Sukan SEA 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENTERI Belia dan Sukan, Dr. Muhammed Taufiq Johari menyuarakan keyakinan tinggi Malaysia mampu mengulangi sejarah gemilang selaku tuan rumah dengan muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2027 sekali gus mengulangi pencapaian edisi 2017.

Beliau menegaskan, pendirian kerajaan adalah jelas dan tidak akan berganjak daripada matlamat asal untuk memastikan kontinjen negara menjadi yang terbaik di rantau Asia Tenggara apabila temasya itu kembali ke tanah air.

“Insya-Allah, kita tidak berganjak daripada itu. Kita sangat optimis untuk mengekalkan kejuaraan dan juga ranking kita.

“Kita akan pastikan Malaysia menjadi yang terbaik dalam Sukan SEA 2027,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis amanat bersama atlet dan jurulatih di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

Penganjuran Sukan SEA 2027 akan diadakan 18 hingga 29 September 2027 yang bermakna Malaysia hanya mempunyai masa 20 bulan untuk bersiap sedia menganjurkan temasya itu.

Mengulas mengenai persiapan ke arah itu, Taufiq memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama MSN dan pihak berkepentingan lain telah merangka pelan rapi termasuk garis masa yang jelas.

Menurutnya, beberapa siri bengkel akan diadakan bagi mengenal pasti sukan dan jumlah pingat yang disasarkan untuk memastikan misi juara keseluruhan tersebut realistik dan boleh dicapai.

“Saya yakin dengan kombinasi pasukan yang mantap di bawah KBS, kita mampu menuju ke arah itu,” jelasnya.

Sembilan tahun lalu, Malaysia diwakili 844 atlet menyertai 398 dari 404 acara membabitkan 38 jenis sukan menamatkan saingan Sukan SEA 2017 edisi ke-29 dengan 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa bagi muncul juara keseluruhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN