PETALING JAYA – Tindakan merapatkan kuku jari telunjuk kiri dan kanan bukan sekadar ujian, ia boleh menjadi petunjuk awal kepada masalah kesihatan serius.
Menerusi perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, ujian dikenali sebagai Schamroth’s Window Test digunakan oleh doktor bagi mengesan tanda awal jari tabuh (finger clubbing), iaitu perubahan bentuk hujung jari yang boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan tertentu.
“Rapatkan kuku jari telunjuk kiri dan kanan, tengok delah pertemuan kuku. Jika ada lubang kecil berbentuk ‘diamond’ jari anda normal. Namun, jika tiada lubang, ini bermakna hujung jari telah membengkak dan kuku melengkung ke bawah petanda jari tabuh,” menurut PHM.
Menurut PHM, keadaan tersebut berlaku akibat paras oksigen dalam darah yang rendah dalam tempoh panjang menyebabkan pembesaran salur darah dan pembengkakan tisu di hujung jari.
“Jari seperti ini sering dikaitkan dengan beberapa penyakit serius seperti kanser paru-paru, masalah jantung serta penyakit paru-paru kronik,” katanya.
Bagaimanapun, PHM berkata, orang ramai dinasihatkan tidak panik kerana perubahan tersebut juga boleh berpunca daripada faktor genetik.
“Kalau jari anda tidak ada lubang tu, jangan panik dulu. Mungkin ia genetik. Tetapi, jika ia disertai dengan batuk berpanjangan, sesak nafas, atau cepat penat, tolong pergi jumpa doktor dan buat sinar-X (X-ray) dada segera,” pesan PHM. – KOSMO! ONLINE














