SEREMBAN – Seorang ibu kandung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya berusia 10 tahun yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal sejak September 2025 hingga awal Januari lalu.
Tertuduh, Dayang Norshida, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun telah mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan di Pangsapuri Desa Palma, Nilai di sini antara September 2025 hingga Januari 2026.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE














