fbpx

Enggan ‘sayap’ patah, 2 ahli baharu lengkapkan formasi Wings

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock ikonik, Wings mengumumkan penyertaan dua anggota tetap iaitu pemain dram, Pae serta Ilham Ishak (bes) yang mengukuhkan lagi keampuhan jenama band berkenaan selepas empat dekad ‘terbang’ tinggi.

Vokalisnya, Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 57, berkata pemilihan mereka adalah atas persetujuan bersama teraju lain melihatkan karisma serta kredibiliti kedua-duanya dalam melengkapkan formasi Wings.

“Bersama ahli baru, kita mahu meneruskan perjuangan Wings yang sudah mencecah usia 40 tahun dan selaku sebuah band yang teguh dalam industri, sangat rugi kalau kita biarkan ‘sayap’ itu patah.

“Tentunya kami bersyukur kerana disertai ahli yang bukan sahaja berpengalaman luas, malah cukup dikenali dalam kalangan penggiat seni menerusi hasil permainan muzik mereka,” katanya selepas pengumuman Konsert Wings Orang Kita, di sini, hari ini.

Berkongsi lanjut mengenai pemilihan anggota baharu untuk bersamanya dengan Sham serta Edrie Hashim, akuinya takdir mempertemukan mereka.

Kata Awie, Pae dipilih secara lantikan terus bersandarkan kecemerlangan dan profil sebagai pemuzik pengiring yang pernah beraksi dengan band gergasi termasuk Search, XPDC dan Amuk.

Ilham atau Am pula biarpun baru pertama kali bersama Wings ketika konsert ulang tahun ke-40 dan aktif sebagai pemuzik pusat hiburan pula dipilih menerusi proses uji bakat yang teliti.

“llham kami pilih menerusi uji bakat. Sebaik melihat dia berdiri dan memetik gitar, saya tahu dia layak. Walaupun masih muda berbanding kami, pengalamannya cukup luas.

“Apa pun mereka ada aura tersendiri. Buktinya adalah ketika konsert 40 tahun Wings tempoh hari termasuk di Singapura. Saya sendiri merasakan ‘vibes’ tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pae atau nama lengkapnya Mohamad Nasfa Mohamed Nasir, 50, berkata dia mahu membina identiti tersendiri tanpa dibayangi pemuzik terdahulu.

“Saya akan jadi Pae. Saya akan bawa karakter sendiri supaya Wings tidak terkeluar daripada landasan asalnya,” ujarnya.

Pada sidang media sama, Wings turut sepakat melantik gitaris, Edrie sebagai pengarah muzik yang bakal menentukan selera muzik untuk album dan konsert akan datang.

“Kami sebulat suara melantik ketua yang akan menjaga aspek muzik bagi strategi jangka panjang untuk membentuk empayar Wings pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai hala tuju kumpulan terbabit, Awie mendedahkan mereka kini dalam fasa membentuk ‘gelombang baharu’ selain bakal masuk studio untuk rakaman album baharu pada bulan puasa nanti.

Terdahulu, pada Oktober tahun lalu dua anggota asal Wings, pemain dram, Black dan bes, Eddie membuat keputusan berundur daripada kumpulan tersebut secara tiba-tiba. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN