fbpx
Proton X50 serba baharu ditawarkan pada harga bermula B$27,499 di Brunei.

Brunei pasaran eksport sulung Proton X50 serba baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) memperkenalkan Proton X50 serba baharu di Brunei sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan pasaran eksport.

Bagi pasaran Brunei, X50 baharu ditawarkan dalam varian Executive yang berharga dolar Brunei (B$) 27,499 (RM86,708); Premium B$31,500 (RM99,324); dan Flagship B$34,500 (RM108,783).

Pelancaran tersebut menandakan langkah penting Proton dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran antarabangsa, khususnya di negara dengan pemanduan sebelah kanan.

Tahun lalu, PICSB mencatatkan jumlah eksport sebanyak 6,000 unit, yang mana Proton X50 muncul sebagai antara penyumbang utama, merangkumi 29% peratus daripada keseluruhan jualan eksport.

Di Brunei, Proton X50 menyumbang 38 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan Proton, menjadikannya antara model kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di sana.

Bagi 2026, Brunei dijangka terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan eksport PICSB dengan sasaran jualan sebanyak 1,000 unit, disokong oleh pengenalan model-model yang dipertingkatkan seperti Proton X50, selain pelancaran Proton Saga serba baharu pada masa akan datang.

Naib Presiden PICSB, Wan Wei berkata, Brunei merupakan pasaran luar negara pertama yang memperkenalkan Proton X50 serba baharu, yang menekankan peranan penting negara itu dalam perjalanan antarabangsa Proton.

“Dengan model seperti Proton X50, Proton berada pada kedudukan kukuh untuk mencapai sasaran eksport 2026 dan mempercepatkan usaha ke arah aspirasi jangka panjang syarikat untuk mencapai jualan 330,000 unit menjelang 2030, dengan 30 peratus disumbangkan oleh pasaran eksport,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN