KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang sedang mengaut hasil laut secara haram pada kedudukan 266.69 kilometer dari perairan Kuala Terengganu dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pihaknya yang melakukan rondaan penguatkuasaan terserempak dengan bot asing dinaiki tiga kru tersebut pada pukul 12.30 tengah hari.
“Kesemua nelayan asing itu sedang leka menarik pukat tunda untuk menangkap ikan secara haram. Bot tersebut bertindak memecut laju sebaik menyedari kehadiran kapal peronda APMM, tetapi berjaya dipintas selepas sejam dikejar,” katanya hari ini.
Hamiludin berkata, pemerisaan mendapati tekong bot menangkap ikan di perairan negara tanpa permit sah daripada Jabatan Perikanan. Pukat tunda digunakan juga bukannya peralatan menangkap ikan yang dibenarkan di negara ini.
“Bot, hasil laut, diesel dan peralatan menangkap ikan disita melibatkan rampasan berjumlah RM1.5 juta. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya. – KOSMO! ONLINE














