KUALA LANGAT – Kebakaran kilang memproses minyak masak yang menyebabkan tiga individu ditemui rentung di Kampung Olak Lempit di sini berlaku ketika premis itu tidak beroperasi pada hari kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, ketiga-tiga mayat tersebut ditemukan kira-kira pukul 9.40 pagi susulan pemeriksaan lanjut pihak bomba di lokasi kejadian.
Katanya, identiti sebenar termasuk jantina bagi ketiga-tiga mayat itu belum dikenal pasti dengan mayat telah dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati kilang berkenaan tutup dan tidak beroperasi. Jadi siasatan lanjut masih dijalankan (mengenai keberadaan ketiga-tiga mangsa itu),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Akmalrizal memaklumkan, pihaknya terdahulu menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kebakaran, kira-kira pukul 10.05 malam.
“Susulan itu, kereta peronda (MPV) telah diarahkan ke lokasi bagi pengesahan dan tindakan awal.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses minyak dan api turut merebak ke kilang bersebelahan yang memproses pembungkusan plastik. Api berjaya dikawal pada pukul 1.11 pagi,” katanya.
Jelas beliau, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan oleh pihak polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta agensi berkaitan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiga mangsa dijumpai rentung dalam kebakaran kilang pemprosesan dan pengurusan sisa minyak yang musnah keseluruhannya di Kampung Olak Lempit di sini malam tadi.
Dua buah kilang lagi turut terbakar pada status satu dan lima peratus. – KOSMO! ONLINE














