LANGKAWI – Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis peranti dan cecair vape ke Thailand dalam Op Taring Landai di Ayer Hangat, di sini semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 1 pagi itu, sejumlah kotak mengandungi barangan tersebut ditemui di kawasan paya bakau berhampiran anak sungai Kampung Ewa.
Pemangku Komander PPM Wilayah 1, Superintendan Fakharuddin Amri Sanusi berkata, operasi tersebut dilakukan Unit Risik Marin PPM Langkawi dengan kerjasama Balai Polis Ayer Hangat.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada individu berada di lokasi kejadian.
“Kesemua peranti dan cecair vape yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM178,400. Kesemua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Langkawi sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan memiliki atau menyimpan barang larangan yang disyaki diseludup. – KOSMO! ONLINE














