KOTA BHARU – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar sebelum waktu solat subuh di depan sebuah masjid di Pasir Hor dekat sini pada bulan lalu.
Tertuduh, Ahmad Fauzi Arifen, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Mohamad.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes penyeludupan migran di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjalankan penyeludupan tujuh orang migran warga Myanmar berusia dalam lingkungan 22 hingga 40 tahun di depan Masjid Tok Guru Haji Wan Ismail, Pasir Hor di sini kira-kira pukul 5.45 pagi pada 21 Disember 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 22 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi laporan status migran. – KOSMO! ONLINE














