PETALING JAYA – Golongan bujang yang layak di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bakal menerima bantuan bulanan sehingga RM100 mengikut kelayakan masing-masing bermula esok, 16 Januari.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kewangan menerusi perkongsian berkaitan tarikh penyaluran bantuan Kerajaan Madani di Facebook hari ini.
Seramai 3.1 juta individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun layak menerima Sara bulanan berdasarkan dua kategori iaitu RM50 melibatkan pendapatan sebulan RM2,500 dan ke bawah, manakala pendapat sama dengan penambahan sebagai penerima bantuan e-Kasih bakal mendapat RM100 yang akan dikreditkan ke dalam MyKad.
Menurut maklumat tersebut, penyaluran Sara bulanan untuk isi rumah dan warga emas telah mula disalurkan lebih awal iaitu pada Jumaat lalu, manakala untuk semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas bakal menerima bayaran secara one-off RM100 pada 9 Februari 2026.
Sementara itu, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 pula akan dibayar bermula 20 Januari. – KOSMO! ONLINE














