MAJLIS Sukan Negara (MSN) menepis kerisauan persiapan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 sudah terlambat dan menyifatkan baki lapan bulan sebelum September sebagai tempoh mencukupi sebaik mendapat kelulusan Kabinet.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya tidak melihat sebarang isu memandangkan gerak kerja sebenar bermula sebaik sahaja kelulusan dana dan pelantikan penganjur dimuktamadkan.
Menurutnya, persiapan bagi edisi tahun lalu juga hanya bermula sekitar April, namun penganjuran berjaya dilaksanakan dengan cemerlang sehingga mendapat pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“Jangan risau kita ada banyak masa lagi sebab tahun lepas kita mula perbincangan dengan pihak berkaitan pada bulan April.
“Perkara paling utama mendapatkan pasukan pelumba dahulu yang mana ia adalah tugas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk memastikan pasukan-pasukan (terbaik dunia) bertanding di Malaysia.
“Apabila pasukan sudah bersetuju, barulah gerak kerja penganjuran berjalan,” katanya selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari bersama barisan atlet dan jurulatih di MSN Bukit Jalil hari ini.
Jefri berkata demikian ketika mengulas status penganjuran perlumbaan berstatus ProSeries itu selepas UCI mengesahkan LTdL kekal dalam kalendar siri jelajah dunia yang berlangsung pada 27 September hingga 4 Oktober nanti.
Mengulas lanjut, Jefri menjelaskan, satu kertas kerja akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini bagi mendapatkan kelulusan penganjuran serta peruntukan dana tahun 2026.
Jelasnya, kelulusan baharu itu diperlukan memandangkan peruntukan kerajaan berjumlah RM12 juta sebelum ini hanya meliputi tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga 2025.
“Kita akan bentangkan permohonan kepada Kabinet dalam masa terdekat, mungkin hujung bulan ini. Dapat keputusan, baru kita boleh umumkan siapa penganjur dan jumlah dana kita perolehi nanti.
“Ini melibatkan peruntukan yang besar, jadi kita perlu mohon pada kerajaan dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi,” katanya.














