fbpx
Fadillah (empat dari kanan) melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Alor Setar, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

Kos 38 projek Petra di Kedah cecah RM4.389 bilion 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) meluluskan sebanyak 38 projek pembangunan di Kedah dengan kos keseluruhan mencecah RM4.389 bilion.

Ia merangkumi 31 projek sambungan dan tujuh projek baharu di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Tahun 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah peruntukan yang diluluskan bagi tempoh pelaksanaan di bawah RP1 Tahun 2026 bagi negeri ini adalah sebanyak RM253 juta.

Katanya, pecahan mengikut jabatan adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebanyak 21 projek membabitkan kos RM1.995 bilion dengan peruntukan tahun 2026 sebanyak RM184 juta secara geran langsung.

“Seterusnya Jabatan Bekalan Air (JBA) sebanyak 14 projek dengan kos RM2.078 bilion. Peruntukan tahun ini sebanyak RM59 juta bagi 11 projek yang dibiayai secara geran langsung serta RM5 juta bagi tiga projek dibiayai secara pinjaman.

“Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) pula mempunyai tiga projek dengan kos RM316 juta yang mana peruntukan tahun ini sebanyak RM5.5 juta secara geran langsung,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Petra berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di sini hari ini.

Menurut Fadillah, antara projek baharu PETRA yang menjadi tumpuan tahun ini ialah pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Karangan di daerah Kulim dengan kos projek sebanyak RM496.124 juta.

“Satu lagi projek utama adalah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Temin/Bata dalam daerah Kubang Pasu dengan kos projek RM290 juta,” ujarnya.

Katanya, kerjasama daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri sangat diperlukan dalam memastikan semua urusan berkaitan projek pembangunan berkenaan berjalan lancar.

Terdahulu, beliau berkata, kerajaan komited untuk meningkatkan liputan dan akses kepada sistem pembetungan berpusat menerusi pembinaan loji rawatan kumbahan berpusat, pembinaan rangkaian paip pembetungan dan kerja-kerja penyambungan ke sistem pembetungan awam.

“Pembangunan perkhidmatan pembetungan di kawasan bandar yang berkepadatan tinggi adalah berlandaskan konsep serantau iaitu membina loji rawatan kumbahan berpusat dengan skala yang bersesuaian bagi menampung keperluan komuniti yang lebih ramai dan meluas.

“Kaedah ini dapat meningkatkan pembinaan loji-loji kecil di kawasan pembangunan baharu,” katanya.

Tambahnya, Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kota Setar yang dibina dengan kos RM238.8 juta itu merupakan loji terbesar di Kedah dengan keupayaan untuk merawat sehingga 100,000 penduduk setara atau population equivalent (PE) dan boleh dipertingkatkan kepada 300,000 PE pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI