SUBANG JAYA – Alasan mahu ‘mengejar trip’ terus menjadi dalih paling popular digunakan pemandu kenderaan perdagangan yang melanggar perintah laluan terhad.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan, berkata, tindakan para pemandu yang ‘degil’ itu antara punca yang menjejaskan kelancaran trafik, khususnya pada waktu puncak.
“Walaupun kita telah beri amaran awal tentang waktu-waktu tertentu kenderaan barangan tidak boleh masuk di jalan-jalan tertentu, masih ada yang berdegil.
“Arahan itu ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang tinggi pada waktu puncak mulai pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi serta dari 4.30 petang hingga 7.30 malam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Operasi Khas Waktu Laluan Terhad Kenderaan Berat, di Hentian Sebelah Subang (arah utara), hari ini.
Sepanjang tahun 2025, beliau berkata, JPJ Negeri Selangor telah mengeluarkan sebanyak 2,712 notis atas ketidakpatuhan terhadap larangan tersebut.
Menurut Azrin, antara laluan utama yang terlibat dalam pelaksanaan perintah laluan terhad berkenaan ialah Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuh Raya Baru Lembah Klang, Jalan Templer ke Jalan Kuching dan Jalan Sungai Buaya.
“Penguatkuasaan terhadap kesalahan melanggar larangan pergerakan ini dilaksanakan di bawah Subseksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) oleh pegawai pengangkutan jalan, pegawai polis atau warden trafik.
“Mana-mana pihak yang ingkar boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 atau didakwa di mahkamah dengan denda antara RM300 hingga RM2,000,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














