fbpx
PENYANYI juga pelakon, Zaki Yamani membuat pengakuan pernah berdepan perlakuan tidak senonoh individu dewasa semasa berurusan dalam pekerjaaan beberapa tahun lalu.

‘Dia mula sentuh, tangan dia atas riba saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA- Kecoh dunia hiburan dengan isu pelakon mendakwa pernah menjadi mangsa amang seksual, penyanyi Zaki Yamani mendedahkan situasi hampir sama berlaku kepadanya beberapa tahun lahu, ketika masih bergelar pelajar sekolah.

Zaki atau nama lengkapnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 19, mendakwa seorang individu yang bekerja dalam bidang produksi berani bertindak melampaui batas apabila meletakkan tangan di atas ribanya ketika mereka berada berdua-duan di dalam sebuah bilik.

“Saya pernah mengalami benda itu. Masa kejadian ketika sedang bekerja, saya ada jumpa seseorang dan dia panggil saya masuk bilik, saya ingatkan untuk apa, rupa-rupanya dia macam dah mula lain sikit.

“Dia mula sentuh saya, tangan dia berada di atas riba saya dan kata saya tampan, muka saya jambu. Benda itu buatkan saya tak selesa.

“Dari situ saya tahu yang orang ini bukan nak bagi kita kerja atau rezeki tapi sebaliknya, saya terus bangun, keluar daripada bilik. Nasib baik ibu saya ada di kawasan  itu, jadi saya pun bagitahu ibu saya,” katanya kepada Kosmo! Online, semalam.

Atas alasan sebegitu juga, penyanyi lagu Percayaku itu lebih selesa membawa ibunya Fatimatuzahra Samat, 42, terutama ketika bertemu individu baharu atas urusan kerja meskipun dia sudah meningkat dewasa.

“Sekarang ini apa-apa sahaja kalau kerja yang tiba-tiba panggil ke bilik, saya akan bawa ibu saya sebab lebih selesa kalau dia ada,” katanya.

Selain itu, Zaki turut mendedahkan pernah diganggu melalui media sosial apabila seorang wanita menawarkan bayaran puluhan ribu ringgit semata-mata untuk melakukan panggilan video dengannya.

“Saya ada dapat DM (mesej langsung) dari TikTok, seorang perempuan tua dia ada tawar nak bayar saya dalam puluhan ribu. Saya ingatkan kerja.

“Jadi, saya pun balas mesej, dia tanya boleh tak nak video call (panggilan video). Saya terus sekat dia, saya tak bodoh.

“Perkara ini saya tak beritahu pada ibu saya sebab saya rasa sekarang dah akal, sudah pandai berfikir, Jadi, benda-benda begini kita kena tepis terus,” jelasnya.

Bagaimanapun, Zaki tidak menceritakan atau berkongsi perkara terbabit dengan bapanya yang juga penyanyi, Jamal Abdillah.

“Tak, saya tidak pernah cerita apa-apa pun yang terjadi kepada saya, dulu masa mula-mula menyanyi pun saya tak beritahu dia

“Apabila SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya habis ke apa semua saya tak ada cakap dekat dia pun. Nak berlakon pun dia tak tahu, mungkin ada orang bagitahu dia tapi daripada saya memang tidak kongsikan sampai sekarang.

“Cuma kalau dia tanya baru saya akan beritahu dia,” tuturnya ketika sidang media drama TikTok berjudul FYP Macam VIP.

Zaki merupakan antara pelakon yang terbabit dalam siri TikTok yang dihasilkan menerusi kolaborasi strategi antara McDonald’s Malaysia dan Media Prima.

Sebelum ini, pelakon Alqal Sahar yang pernah membintangi naskhah Diari Ramadhan Rafique mencetuskan perhatian apabila membuat pendedahan mengejutkan mendakwa pernah menjadi mangsa amang seksual seorang pengarah dipercayai ahli keluarga sendiri ketika masih kanak-kanak.

Dalam isu sama, Alqal tidak sendirian apabila beberapa pelakon lain antaranya Firdaus Gufran terpanggil membuat pengakuan mengiakan situasi hampir serupa pernah berlaku kepadanya semasa di set penggambaran semasa masih kanak-kanak.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN