fbpx
Perwakilan UMNO bersorak ketika ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

Buang ‘denial syndrome’, UMNO sedang hadapi krisis kepercayaan – Dr. Akmal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengingatkan parti itu sedang berdepan krisis kepercayaan rakyat yang serius dan tidak boleh lagi dinafikan, meskipun UMNO kini berada dalam kerajaan serta mempunyai barisan menteri di Kabinet.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Mohamad Akmal Salleh berkata, UMNO sedang diserang satu penyakit berbahaya yang disifatkannya sebagai “denial syndrome”, iaitu keadaan apabila parti merasakan diri masih kuat sedangkan realiti di akar umbi menunjukkan sebaliknya.

“Kita masih kata kita baik-baik sahaja, walhal jauh di lubuk hati kita tahu, kita tidak baik-baik.
“Dua Pilihan Raya Umum berturut-turut kita tewas dan jumlah kerusi semakin mengecil,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Menurut beliau, kehadiran UMNO dalam kerajaan hari ini tidak menjamin kemenangan pada masa hadapan sekiranya keresahan rakyat dan akar umbi terus dipendam.

“Menjadi kerajaan hari ini tidak menjamin kemenangan esok. Jika krisis kepercayaan ini dibiarkan, jangan terkejut jika rakyat memilih untuk tidak lagi memberi kepercayaan kepada UMNO,” tegasnya.

Akmal menegaskan, Pemuda UMNO akan terus berperanan sebagai “loceng kecemasan” parti dengan menyuarakan kebenaran walaupun pahit dan tidak popular.

“Pemuda tidak berjuang untuk keselesaan hari ini, tetapi untuk memastikan perjuangan ini masih bernyawa pada hari esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI