PENYERANG warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado tidak jadi untuk bersara awal sekali gus berpeluang untuk membuat kemunculan semula selepas tempoh 12 bulan hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berakhir pada September depan.
Sebelum ini, timbul spekulasi pemain kelahiran Argentina itu membuat pertimbangan untuk bersara selepas menerima hukuman berat oleh FIFA susulan isu pemalsuan dokumen pada September lepas.
Namun, portal terkenal Chile, En Chancha membuat laporan terbaharu apabila mendakwa Holgado tidak mempunyai masalah untuk beraksi secara kompetitif selepas hukumannya berakhir nanti.
Lebih menarik, Holgado turut memberikan bayangan untuk kembali mempamerkan taring di atas padang apabila meninggalkan komen “Kenapa tidak?” dalam hantaran wartawan sukan, Renzo Luvecce di Instagram mengenai spekulasi menyarung jersi kelab Chile, Coquimbo Unido.
Malah, sumber rapat kelab di laman instagram @infocoquimbounido turut teruja dengan kemungkinan Holgado kembali menyarung jersi kelab dalam masa terdekat.
“Nampaknya mimpi ngeri bakal berakhir dan ada sinar baharu menanti,” menurut kapsyen @infocoquimbounido yang memuat gambar Holgado kelmarin.
Pihak pengurusan kelab yang terkenal dengan gelaran The Pirates itu sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Holgado yang pernah menyarung jersi kelab pada 2018 dan 2023.
Barisan kejurulatihan Coquimbo Unido yang diketuai Esteban Gonzalez memandang tinggi bakat Holgado selepas meledak 34 gol ketika menyarung jersi pasukan sebelum ini.














