PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali pada Rabu depan.
Azam berkata, pertemuan itu bertujuan membincangkan pelbagai isu termasuk kes siasatan SPRM terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Pertamanya kami akan bincang isu-isu yang sedia ada yang sedang dalam siasatan dan kedua ialah bincangkan langkah kehadapan tentang isu pembersihan di dalam ATM.
“Kami bersedia membantu Kementerian Pertahanan dan ATM terutama berkaitan pelan antirasuah susulan keterlibatan kami dalam kes rasuah dalam pasukan tentera itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan khususnya berkaitan Seksyen 7(c) Akta SPRM 2009 (pendidikan dan kesedaran mengenai rasuah) selain memberi nasihat dan menjalankan kajian kelemahan tatakelola.
Kementerian Pertahanan akan melaksanakan rombakan pelan antirasuah secara besar-besaran bagi membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional khususnya ATM pada tahun ini.
Susulan itu, semua proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki selari dengan amalan terbaik. – KOSMO! ONLINE














