BUENOS AIRES – Seorang wanita berusia 25 tahun dari Argentina mendedahkan sebab dia memilih untuk berkahwin dengan lelaki 15 tahun lebih tua daripada bapanya sendiri, lapor laman berita Daily Star semalam.
Julieta dan Charly pertama kali bertemu pada tahun 2023 sebelum mereka berkahwin dua tahun kemudian.
Walaupun perbezaan usia mereka mencecah 43 tahun, pasangan itu hidup bahagia sebagai suami isteri.
Kisah cinta mereka bermula di lorong sebuah hotel di La Falda, sebuah bandar yang terletak di kawasan pergunungan Sierras de Córdoba pada tahun 2023.
Ketika itu, Julieta menjual cincin dan gelang kepada golongan pesara yang datang ke bandar tersebut untuk menikmati pemandangan gunung.
Namun, Charly segera menarik perhatian Julieta apabila muncul dengan memakai topi dan bercermin mata gelap.
Wanita itu berkata kepada portal berita Argentina TN: “Dia menarik perhatian saya sebaik sahaja saya melihatnya. Saya memang tertarik kepada lelaki yang lebih berusia, tetapi dia mempunyai sesuatu yang berbeza.
“Saya berkata kepada diri sendiri bahawa dia berada dalam lingkungan pilihan saya,” tambahnya.
Sementara itu, Charly turut tertarik kepada Julieta dan mengambil peluang untuk berkenalan dengannya di gerai barang kemas.
Dengan alasan ingin membeli barangan perhiasan, bekas pengurus loji nuklear itu memanjangkan perbualan mereka sebelum mengajak wanita tersebut keluar bertemu janji.
Pasangan itu mendapati bahawa mereka serasi, manakala Julieta mengaku bahawa Charly telah menawan hatinya. – AGENSI














