PETALING JAYA – Usanita Sdn. Bhd. (Usanita) kini bergerak aktif meneroka peluang untuk mempromosi fesyen sopan halal di negara-negara Islam yang mempunyai hampir dua bilion penduduk, selari dengan potensi besar fesyen Islamik di peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan berkata, sebagai contoh di Istanbul, Turkiye yang mana fesyen sopan halal berpotensi besar kerana umat Islam kini bukan sahaja memilih pakaian menutup aurat, tetapi mementingkan ketelusan rantaian bekalan merangkumi bahan mentah serta amalan kerja beretika dan patuh syariah.
“Inisiatif fesyen sopan halal atau halal modest fashion dibuat bagi memanfaatkan momentum hubungan Malaysia–Turkiye yang diperkukuh melalui lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye minggu lepas.
“Melalui kajian dan maklum balas yang kami terima, umat Islam di banyak negara kini mahu mendapatkan maklumat sama ada pakaian mereka diperbuat daripada bahan halal serta tidak melibatkan perkara-perkara ditegah Islam termasuk penindasan dan ekploitasi pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar hari ini, yang turut dihadiri Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Istanbul, Sadat Foster Maad.
Adzliana berkata, unjuran industri menunjukkan perbelanjaan pengguna Muslim bagi kategori pakaian dan kasut sahaja bernilai AS$327 bilion pada tahun 2023 dan ia dijangka meningkat kepada AS$433 bilion menjelang 2028.
Mengenai strategi pemasaran fesyen sopan halal, Adzliana berkata, jenama fesyen di bawah Usanita iaitu Amber akan bekerjasama dengan rakan strategik di pelbagai negara Islam seperti Indonesia dan Turkiye untuk menjayakan inisiatif tersebut di bawah program Bridge to Brilliance (BtB) yang diperkenalkan Usanita.
Katanya, platform BtB sesuai digunakan untuk mempromosi konsep fesyen sopan halal kerana jaringan strategik dibina di Malaysia (BtB 1.0), Indonesia (BtB 2.0), United Kingdom (BtB 3.0), New Zealand/Australasia (BtB 4.0) dan Turkiye (BtB 5.0). – KOSMO! ONLINE














