PUTRAJAYA- Jemaah Menteri hari ini menerima baik penjelasan diberikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung pelbagai isu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah diberi taklimat mengenai perkara itu.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Menteri Pertahanan telah memperincikan setiap perkara dan perkembangan terkini mengenai isu berkenaan.
“Penjelasan daripada Menteri Pertahanan itu telah diterima baik oleh Jemaah Menteri,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan beberapa isu terkait ATM membabitkan pegawai tertinggi ATM susulan tuduhan rasuah termasuk perolehan dan tender ketenteraan yang kini di siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hari ini juga, seorang lagi pegawai tinggi ATM ditahan oleh SPRM untuk siasatan lanjut terhadap dakwaan rasuah berkaitan angkatan tentera. – KOSMO! ONLINE














