PETALING JAYA – Rata-rata peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan usahawan dalam industri pelancongan menyambut baik tiga inisiatif terbaharu agensi itu seperti yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini.
Ini kerana kata mereka, inisiatif tersebut bukan sahaja membantu pelajar di institusi pengajian tinggi, tetapi turut menunjukkan keprihatinan PTPTN dan kerajaan dalam usaha memartabatkan pendidikan tinggi di negara ini.
Antara tiga inisiatif tersebut ialah biasiswa melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun.
Kedua, pengecualian bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang perolehi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA dari keluarga pendapatan rendah dan menengah.
Inisiatif tersebut memberi manfaat sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.
Terakhir adalah sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu bayar atau bekerja di luar negara tetapi culas membuat bayaran balik.
Menurut seorang kakitangan sebuah syarikat swasta, Alani Nizam, 24, inisiatif berkenaan menunjukkan pendekatan yang seimbang antara membantu pelajar dan memastikan tanggungjawab peminjam terus dipelihara.
“Penukaran pinjaman kepada biasiswa penuh bagi pelajar daripada keluarga miskin dan tidak berkemampuan adalah langkah tepat kerana golongan ini sememangnya memerlukan sokongan menyeluruh untuk meneruskan pengajian tanpa fikirkan soal kewangan.
“Saya sendiri telah membuat pinjaman PTPTN selama tujuh tahun dari zaman diploma sehingga peringkat ijazah.
“Sepanjang tempoh pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pinjaman ini banyak membantu menampung yuran pengajian serta kos sara hidup ketika belajar,” katanya.
Mengulas lanjut, Alani berkata, bagi inisiatif pengecualian bayaran balik pinjaman kepada pelajar B40 dan M40 yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama pula, ia memberi motivasi besar kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik.
“Sebagai peminjam, saya melihat langkah ini sebagai satu pengiktirafan dan ganjaran terhadap usaha keras pelajar serta bukti bahawa kerajaan menghargai disiplin, komitmen serta kecemerlangan dalam pendidikan tinggi,” katanya.
Justeru katanya, dia berharap agar peminjam yang sebelum ini culas membuat bayaran supaya tampil berbincang dengan PTPTN dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“PTPTN ini adalah dana kerajaan dan ia adalah amanah bersama bagi memastikan lebih ramai lagi pelajar dapat menikmati peluang pendidikan tinggi pada masa hadapan,” ujarnya.
Turut senada dengan Alani adalah seorang pelajar jurusan Teknologi Maklumat, UiTM Shah Alam, Niesha Allieya Ismail.
Niesha, 24, berkata, dengan adanya penstrukturan semula pinjaman akan memberi kelegaan kewangan kepada peminjam.
Ini terutama golongan graduan yang baru memasuki alam pekerjaan atau berpendapatan rendah.
“Inisiatif ini juga dapat membantu mengurangkan beban kewangan serta mengelakkan peminjam daripada terjerat dengan tunggakan hutang yang berpanjangan.
“Selain itu, ia juga menggalakkan peminjam untuk lebih bertanggungjawab dalam melunaskan pinjaman kerana syarat yang lebih fleksibel dan munasabah,” katanya.
Neisha berharap agar PTPTN dapat terus membantu generasi akan datang untuk melanjutkan pengajian supaya mereka tidak dibebani masalah kewangan.
Pada masa sama, dia turut menasihatkan peminjam yang culas supaya mempunyai rasa tanggungjawab untuk melunaskan hutang yang telah dipinjam.
“Dalam Islam, hutang merupakan satu amanah yang wajib diselesaikan dan tidak boleh dipandang ringan,” tegasnya.
Dalam pada itu, pihak agensi pelancongan juga turut bersetuju dengan langkah PTPTN mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu bayar tetapi culas membuat bayaran balik.
Pemilik syarikat M.Maha-Izah Transport and Tours Sdn Bhd, Amirul Izuan Illias berkata, meskipun terdapat segelintir pelanggan yang mempunyai masalah sekatan perjalanan, tetapi mereka telah berunding dengan PTPTN sebelum melancong.
Jelasnya, keprihatinan PTPTN itu membuktikan bahawa agensi itu mengambil berat masalah peminjam dan bersedia untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesian mengikut kemampuan peminjam.
Namun kata Amirul Izuan, sebagai peminjam, mereka seharusnya bertanggungjawab menyelesaikan semua hutang terlebih dahulu sebelum melancong.
“Sebagai peminjam ambillah tanggungjawab bayar semula hutang itu. Jika boleh kumpul duit untuk melancong, jadi tak mungkin, hutang PTPTN tidak boleh bayar.
“Lagi pun dengan bayaran balik hutang PTPTN, ia dapat membantu agensi itu menambah semula dana untuk manfaat generasi anak-anak kita juga.
“Jangan sampai generasi akan datang susah untuk dapat pinjaman untuk belajar disebabkan sikap kita yang mengabaikan hutang PTPTN,” katanya.
Terdahulu, kesemua inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri mencerminkan semangat pembaharuan nasional dan komitmen kerajaan dalam melaksanakan agenda yang menekankan kesejahteraan rakyat serta kelestarian pendidikan. -KOSMO! ONLINE














