PETALING JAYA – Tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat dalam permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, kelayakan STR adalah berdasarkan had pendapatan yang ditetapkan, selaras dengan amalan terbaik pelaksanaan program bantuan sosial kerajaan.
Menurutnya, setiap permohonan akan melalui proses semakan dan verifikasi dengan pelbagai agensi kerajaan bagi mengesahkan kelayakan pemohon.
“Bagi pemohon baharu, selain daripada had pendapatan, semakan berkala akan diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan serta rekod bekerja atau menetap di luar negara,” katanya hari ini.
MoF berkata, semua pemohon bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat dan benar.
“Kerajaan juga berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” ujarnya.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan turut mengingatkan penerima STR supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sebagai langkah keselamatan, MoF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) atau WhatsApp dan penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi sebarang maklumat terkini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














