JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor ‘menjemput’ seorang warga emas yang juga pemaustatin tetap (PR) Singapura selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai dekat sini hari ini untuk hadir ke pejabat KPDN Johor untuk dirakam keterangan.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, keterangan daripada Orang Kena Saman (OKS), Long Sa Kow, 64, penting bagi melengkapkan kertas siasatan berkaitan pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 terhadap pengusaha stesen minyak terbabit.
“Keterangan daripada lelaki tersebut penting untuk melengkapkan siasatan. Selain itu, keterangan daripada perakam video kejadian yang juga pengadu kes ini turut diambil bagi membantu siasatan.
“KPDN juga telah mengambil keterangan daripada pihak pengusaha stesen minyak berkenaan,”katanya ketika dihubungi pada hari ini.
Terdahulu, pemandu kereta Volkswagen Jetta bernombor pendaftaran Singapura yang dikesan mengisi petrol RON95 pada 2 Januari lalu didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas tuduhan mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan itu.
Sa Kow dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret R. Salini.
Dalam pada itu, Lilis Saslinda menjangkakan kertas siasatan berkenaan dapat disiapkan pada bulan ini sebelum diserahkan kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Beliau mengegaskan, larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing telah dikuatkuasakan sejak 1 Oktober 2020 bagi memastikan subsidi petrol hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, kenderaan bernombor pendaftaran asing dibenarkan membeli petrol RON97.
“Di bawah Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, tindakan boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak yang melanggar arahan Pengawal Bekalan, termasuk membenarkan kenderaan berdaftar asing mengisi petrol bersubsidi RON95.
“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
“Jika melibatkan syarikat, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda sehingga RM5 juta,” jelasnya.
Pada 3 Januari lalu, tular sebuah video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial yang memaparkan seorang pemandu kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Kulai.
Pemilik video mendakwa tindakan menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan itu dipercayai taktik baharu untuk mengaburi pihak berkuasa dengan menjadikannya kelihatan seperti kenderaan tempatan.-KOSMO! ONLINE
Habis//














