SRI AMAN – Bapa kepada jururawat yang ditemukan tidak bernyawa bersama suaminya di Taman Mutiara, Jalan Brayun di sini memaklumkan pasangan tersebut tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini.
Kibin Jaya, 68, berkata, dia kerap ke rumah pasangan suami isteri tersebut dan kali terakhir mereka berjumpa kira-kira dua hari lalu.
“Memang saya ada berjumpa mereka dan selalu ke sini (rumah mangsa). Mereka (nampak) seperti biasa, tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Justeru, beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kematian tersebut dan memberikan kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.
Kibin memberitahu, dia akan mengambil alih urusan penjagaan tiga cucunya yang berusia sembilan, 16, dan 17 tahun.
Terdahulu, Angeline Kibin yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Sri Aman dan suaminya, Andy Roy Junran iaitu Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Sbangki ditemukan maut di rumah mereka dengan kesan kecederaan di badan. – KOSMO! ONLINE














