IPOH – Seramai 14 graduan asnaf bagi Kursus Penyelaman Komersial di bawah program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama VETA Kolej ditawarkan peluang pekerjaan sebagai penyelam daripada Divestuff International Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, kesemua asnaf berkenaan akan memulakan kerjaya sebagai tender dengan gaji permulaan RM2,500 bagi tempoh satu bulan.
“Ia sebelum dinaik taraf sebagai penyelam profesional, dengan anggaran pendapatan bulanan antara RM4,000 hingga RM6,000,” katanya di Ipoh hari ini.
Beliau berkata, kesemua ansaf tersebut diraikan dalam Majlis Tamat Latihan Peserta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MAIPk bagi Kursus Penyelaman Komersial berkenaan di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh semalam.
Katanya, majlis itu diadakan bagi meraikan kejayaan 14 orang peserta asnaf yang telah berjaya menamatkan kursus penyelaman komersial dilaksanakan pada Disember 2025.
Turut hadir adalah Pengarah Urusan Vocational Training Academy Sdn. Bhd., Roszida Othman dan Pengarah Teknikal Divestuff International Sdn. Bhd., Mohamed Syamsul Bahari Mohamed Rashid.
Syamsul Hazeman berkata, program latihan berimpak tinggi itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM315,000, merangkumi yuran latihan, penginapan dan makan minum, elaun bulanan serta elaun permulaan kerja.
“Dalam majlis yang sama, para peserta turut menerima surat tawaran pekerjaan daripada Divestuff International Sdn. Bhd,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan program TVET itu mencerminkan komitmen berterusan MAIPk dalam memperkasa golongan asnaf melalui pembangunan kemahiran, latihan profesional dan penempatan kerjaya yang terjamin, sekali gus mengurangkan risiko kemiskinan jangka panjang serta meningkatkan taraf sosioekonomi peserta.
Katanya, inisiatif itu membuktikan bahawa melalui pendekatan TVET yang berstruktur dan berfokus kepada keperluan industri, kemahuan dan kesungguhan mampu mengatasi kekangan latar belakang, seterusnya membuka ruang kepada pembinaan kerjaya dan masa depan yang lebih mampan. – KOSMO! ONLINE














