fbpx
TANGKAP layar menunjukkan Logeswaran terpaksa diiringi polis ketika keluar padang sejurus tamat aksi Negeri Sembilan dan JDT, Jumaat lalu.

Logeswaran, Usaid kena jalani fasa pemulihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang serius isu prestasi pengadil perlawanan ketika aksi Liga Super antara Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Jumaat lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkaya, Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah meneliti Laporan Penilai Pengadil seterusnya menilai prestasi pegawai perlawanan tersebut secara menyeluruh, termasuk analisis terhadap insiden-insiden utama yang berlaku sepanjang perlawanan.

“Hasil penilaian mendapati terdapat beberapa keputusan yang kurang tepat dilakukan oleh pengadil perlawanan, S Logeswaran dan pengadil VAR, Muhd Usaid Jamal khususnya berkaitan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 – “Kesalahan dan Kelakuan Tidak Bersopan”.

“Sehubungan itu, FAM memutuskan untuk merujuk kedua-dua pengadil terbabit kepada fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu bagi memperbaiki prestasi mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Disebalik aksi berkualiti tinggi, prestasi Logeswaran lebih menarik perhatian peminat yang mendakwa pengadil itu gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Dalam masa sama, Noor Azman juga memaklumkan Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Penilaian Prestasi sudah menghantar surat rasmi kepada semua pegawai perlawanan termasuk penilai pengadil yang terbabit untuk menghadiri sesi ‘Postmatch Debriefing’ di Wisma FAM, Kelana Jaya, esok.

“Objektif utama sesi tersebut adalah untuk menilai dan membimbing pegawai perlawanan agar mereka dapat memperbaiki setiap kelemahan.

“FAM tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan kualiti pengadilan dan akan memanggil mana-mana pegawai perlawanan yang menunjukkan prestasi yang lemah untuk bimbingan dan pemulihan prestasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI