MELAKA – Sebuah hotel di negeri ini yang dipercayai dikaitkan dengan konsep gay friendly (mesra gay) mengeluarkan notis penutupan sementara operasinya.
Perkara itu dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin hari ini menerusi sekeping foto notis penutupan sementara yang ditampal di premis terbabit.
Menurut notis itu, pihak pengurusan hotel memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat penutupan dan memaklumkan bahawa rujukan dalam talian mengenai hotel tersebut tidak mencerminkan polisi, nilai atau standard operasi premis.
“Laman web yang berkait dengan rujukan tersebut telah ditutup. Kami beroperasi mengikut undang-undang, peraturan, serta norma budaya tempatan. Sebarang aktiviti yang bertentangan dengan prinsip tersebut tidak dibenarkan di premis hotel,” tulisnya.
Dalam notis itu lagi, pihak pengurusan menyatakan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa sekiranya sebarang penyiasatan dijalankan.
“Pihak pengurusan kesal dengan sebarang salah faham yang timbul berhubung isu berkenaan dan terima kasih kepada orang ramai kerana memahami situasi ini,” katanya.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial Thread mendakwa kewujudan sebuah hotel berkonsepkan ‘gay friendly’ di negeri ini, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Hantaran itu dimuat naik oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, yang membangkitkan persoalan mengenai trend penjenamaan perniagaan menggunakan label ‘friendly’ seperti pet-friendly, family-friendly, Muslim-friendly dan kini gay-friendly. – KOSMO! ONLINE














