SEPANG – ECW Motorsports Sdn Bhd (ECW Motorsports) syarikat bumiputera yang terlibat dalam bidang penjualan kereta, mahu menjadikan 2026 sebagai fasa lonjakan besar buat syarikat untuk menawarkan semua segmen bisnes dalam industri automotif.
Pengarah Urusannya, Ahmad Ibrahim berkata, syarikat mahu melengkapi ekosistem dalam industri itu bagi melengkapi dan menyokong setiap segmen menjadikan kumpulan tersebut terus berdaya saing dalam industri yang mencabar itu.
“Kita tidak mahu jadi bisnes yang jual kereta semata-mata. Kita nak pelanggan datang ke sini kerana semua keperluan automotif boleh dimanfaatkan di bawah satu bumbung.
“Sebagai permulaan syarikat, akan memfokuskan kepada usaha untuk mengukuhkan segmen perniagaan bengkel yang kini menjadi penyumbang utama kepada prestasi kewangan syarikat,” katanya ketika ditemui pada acara Honda Nation 2026 di sini Sabtu lalu.
ECW menjadi rakan kongsi strategik program permotoran berskala besar di Litar Antarabangsa Sepang dengan menaja sebuah Honda Civic Type R FL5 bernilai RM250,000 sebagai hadiah utama cabutan bertuah.

Ahmad berkata, menerusi gabungan pengembangan perniagaan, sasaran jualan realistik dan sokongan penjenamaan menerusi acara ikonik di Bukit Jalil, ECW yakin 2026 bakal menjadi tahun penting yang mengukuhkan kedudukannya dalam landskap automotif tempatan.
Mengenai segmen penjualan kenderaan, ECW menyasarkan jualan sehingga 3,000 unit kenderaan pada tahun ini berbanding 2,372 unit yang direkodkan tahun 2025.
Selain itu, syarikat sedang merangka pelan untuk projek pembangunan dengan beberapa bilik pameran baharu yang dijangka siap secara berperingkat bermula tahun ini.
Projek utamanya adalah pembangunan Pusat 4S yang menawarkan khidmat jualan, servis, alat ganti, ketuk dan cat.
“Premis ini dibuat dekat dengan bengkel sebab kita nak melancarkan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Ada yang datang untuk servis kereta, bila tengok kereta, boleh terus beli,” ujar Ahmad.
Dalam pada itu, ECW juga akan membuka bilik pameran premium khas untuk kenderaan import dan juga untuk motosikal berkuasa tinggi seperti Harley-Davidson, Ducati dan BMW. -KOSMO! ONLINE














