SKUAD lompat jauh para negara meletakkan harapan besar di bahu Wong Kar Gee apabila atlet kategori T12 itu disahkan sebagai sandaran utama emas meskipun kem kebangsaan hanya dibarisi 10 atlet menjelang Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Korat, Thailand.
Jurulatih lompat jauh para negara, Eryanto Bahtiar berkata perkembangan prestasi semasa menyaksikan Wong Kar Gee berada pada landasan terbaik untuk diburu sebagai penyumbang pingat utama negara.
“Untuk acara lompat jauh, memang kita letakkan Wong Kar Gee sebagai sasaran emas,” katanya yang ditemui selepas semasa sesi latihan di Trek Olahraga, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil kelmarin.
Menurut Eryanto, meskipun saiz skuad kecil, barisan kejurulatihan melihat peluang pingat masih realistik apabila tiga atau empat atlet dikenal pasti berupaya mencabar podium.
“Atlet lompat jauh kita memang tak ramai, sekitar 10 orang tetapi saya nampak tiga atau empat atlet yang ada potensi untuk sasaran pingat, termasuk atlet wanita,” jelasnya.
Mengulas persiapan semasa, Eryanto berkata, pasukan kini sudah memasuki fasa akhir latihan dengan pendekatan lebih spesifik dan terkawal, memfokuskan kepada simulasi pertandingan.
Beliau menegaskan latihan simulasi amat penting bagi meminimumkan risiko kesilapan menjelang aksi sebenar dijadual berlangsung kurang dua minggu lagi.
“Kita nak elakkan kesilapan-kesilapan kecil. Jadi full jump ini untuk pastikan atlet benar-benar bersedia dari segi teknikal dan mental,” ujarnya.
Bagaimanapun, di sebalik keyakinan terhadap peluang pingat, Eryanto mengakui kebimbangan utama ketika ini adalah risiko kecederaan, lebih-lebih lagi apabila skuad yang dibawa dalam jumlah terhad.
“Masuk fasa akhir ini, perkara paling kita risau ialah kecederaan kerana ada atlet yang memang berpotensi emas. Kalau berlaku sesuatu, ia boleh menjejaskan keseluruhan persiapan,” katanya.














