fbpx
Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor bantah keras sebarang aktiviti LGBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang melibatkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang dianjurkan dalam Negeri Selangor.

Dalam kenyataan bersama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin dan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir, Sultan Sharafuddin telah menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap sebarang aktiviti melibatkan LGBT.

Katanya, baginda juga tidak berkenan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di negeri ini.

“Baginda juga tidak berkenan sebarang penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan LGBT di Selangor.

“Walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu dengan Allah SWT yang melangkaui batas fitrah, namun perbuatan ini boleh mengundang kemurkaan serta laknat daripada Allah SWT ke atas negeri ini,” katanya hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menitahkan Salehuddin dan Anhar menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan bagi menyatakan pendirian tegas baginda berhubung dengan penganjuran “Glamping with Pride” yang akan diadakan pada 17 dan 18 Januari ini di Hulu Langat yang dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Berdasarkan kenyataan bersama itu, agama Islam telah mengharamkan amalan songsang LGBT yang mempunyai persamaaan dengan perbuatan liwat kaum Nabi Luth A.S.

Tegas Salehuddin dan Anhar, sebarang usaha untuk mempromosi atau menghalalkan gaya hidup songsang LGBT adalah bercanggah dengan Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek menjaga keturunan (Hifz al-Nasl).

“Selain itu, sebarang aktiviti LGBT juga mengundang kepada normalisasi LGBT dan ia boleh menjadi satu ancaman kepada aqidah umat Islam. Ini kerana mereka menghalalkan apa yang telah jelas diharamkan oleh agama Islam,” katanya.

Berikutan pendirian tegas Sultan Selangor berkaitan isu ini, MAIS dan Mufti Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program tersebut serta program seumpamanya di
Selangor

“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT dan PDRM turut diminta untuk menjalankan pemantauan rapi dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak dianjurkan seperti yang dititahkan oleh Sultan Sharafuddin.

“Komitmen semua pihak dituntut dalam memelihara kesucian agama Islam untuk memastikan Selangor kekal harmoni dan bersih daripada sebarang amalan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI