PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu insiden gangguan teknikal di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor baru-baru ini berulang di mana-mana pintu masuk negara.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain hari ini.
Katanya, arahan Perdana Menteri itu dikongsi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas menghadiri mesyuarat koordinasi mengenai insiden itu hari ini.
Beliau secara peribadi mengarahkan setiap komander terutama di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) memantau sistem kemasukan di pintu masuk.
“Insiden itu perlu diberi penekanan amat tinggi. Perdana Menteri memberi arahan supaya perkara ini jangan berlaku lagi. Tahun ini Tahun Melawat Malaysia 2026 dan saya memberi arahan kepada semua komander terutama jika mereka melihat petanda sistem tidak beroperasi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan watikah komander-komander AKPS di sini hari ini.
Mohd. Shuhaily berkata, apabila sistem itu mengalami masalah teknikal, setiap komander perlu cepat bertindak dengan memudahkan serta melancarkan pergerakan keluar masuk pengembara secara manual.
“Jika tidak ada orang (di kaunter), mereka perlu cari untuk penuhkan kaunter,” katanya. – KOSMO! ONLINE














