PETALING JAYA – Seorang pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah telah dilepaskan sekitar tengah malam tadi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai berkenaan dijangka dipanggil semula pagi ini bagi meneruskan proses rakaman keterangan.
“Pegawai tertinggi ATM berkenaan telah dilepaskan pada tengah malam tadi.
“(Beliau) dijangka pagi ini akan dipanggil semula untuk sambung rakam keterangan,” katanya hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang pegawai tertinggi tentera dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah.
Difahamkan, pegawai ATM dalam lingkungan usia 60-an itu tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 11 pagi bagi memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE














