PETALING JAYA – “Hasrat dan isi hati telah saya luahkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh hari ini.”
Demikian perkongsian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menerusi hantaran terbaharu di Facebook beliau sebentar tadi sehingga mencetuskan spekulasi banyak pihak terutama berhubung isu peletalan jawatan sebagai EXCO Melaka.
Dalam hantaran tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memaklumkan Ab. Rauf antara individu yang memperkenalkan beliau kepada perjuangan UMNO sejak zaman universiti lagi.
“Individu ini banyak mengajar saya tentang dunia kepimpinan dan perjuangan. Terima kasih bang, jasa dan ilmu yang abang berikan tidak mampu saya balas satu persatu,” luahnya.
Beliau turut menyatakan rasa bangga kerana berpeluang berkhidmat bersama tokoh yang banyak membimbingnya dalam arena politik dan kepimpinan.
Tegasnya, pengalaman dan bimbingan yang diterima daripada Ketua Menteri itu menjadi sumber inspirasi dalam usaha beliau untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat dan parti.
“Saya berbangga dapat berkhidmat bersama,” katanya.
Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal dilaporkan berkata, beliau akan menjawab semua persoalan berkait hala tuju politik susulan polemik pasca Konvensyen Khas Pemuda UMNO, 3 Januari lalu pada Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung minggu depan.
Beliau pada konvensyen khas itu menegaskan pendiriannya untuk meminta dan menggesa partinya menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang.
Terdahulu, Pemuda DAP dilaporkan menggesa Dr. Muhamad Akmal meletak jawatan sebagai EXCO Melaka, susulan penegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk UMNO dan BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal. – KOSMO! ONLINE














