fbpx
Mohd. Hakim (memakai penutup muka) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini.

Bekas pengerusi NGO didakwa salah guna wang derma misi kemanusian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahguna harta membabitkan wang derma misi kemanusiaan lebih RM200,000 milik sebuah pertubuhan tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Mohd. Hakim Mohd. Nor, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Hakim didakwa sebagai pengerusi (ketika itu) sebuah pertubuhan secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta milik sebuah pertubuhan berjumlah RM207,000 yang mana wang itu ialah wang derma bantuan misi kemanusiaan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria, Palestin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Sultan Hishamuddin di sini pada 27 Disember 2019 yang didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari enam enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan RM50,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran kediaman pada awal bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mendengar perkara itu, peguam Azizul Shariman Mat Yusoff memohon jaminan RM10,000 kerana anak guamnya perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah, bapa serta ibunya yang sakit selain isterinya bekerja sendiri yang hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.

“Tertuduh hanya diberitahu untuk hadir ke mahkamah pada minggu lepas dan hari ini beliau hadir di mahkamah seawal 8 pagi dan beliau telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan sejak 2025. Ini menunjukkan risiko untuknya melarikan diri daripada menghadiri perbicaraan adalah sangat rendah,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkaman kemudian menetapkan 11 Mac ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkarkan kegiatan penyelewengan dana sebuah NGO hasil sumbangan orang ramai dipercayai berjumlah RM26 juta.

Sumber berkata, kegiatan penyelewengan dana itu terbongkar susulan tangkapan lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan menerusi Op Serantau.

Kegiatan penyelewengan dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku sekitar tahun 2015.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, pihaknya menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta.

Antara barangan yang disita adalah barang kemas bernilai RM100,000, wang tunai lebih RM1 juta, akaun kripto bernilai RM650,000 dan empat buah rumah berharga lebih RM1.4 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN