PETALING JAYA – Pasangan beregu campuran badminton negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai bersama perenang kebangsaan, Welson Sim telah melancarkan kad koleksi emas tulen edisi terhad pertama di dunia.
Kad koleksi eksklusif ini dikeluarkan secara rasmi oleh theCOVER Asia dengan kerjasama Click Entertainment Sdn Bhd (Click Entertainment), bertujuan untuk mengekalkan detik-detik penting dalam kerjaya atlet sambil melambangkan semangat juang yang memberi inspirasi kepada rakyat.
Setiap kad ini mengandungi emas 0.25 gram 999 tulen, nombor siri unik dan sarung kad premium yang mana ia dijual pada harga asal RM360, manakala harga pra-tempah awal RM299.

Ketua Pegawai Eksekutif Click Entertainment, Tan Yin Loo berkata, pada peringkat awal, pihaknya menyasarkan penjualan 1,000 keping kad koleksi emas masing-masing yang tertera nama dan gambar Goh Soon Huat, Shevon Lai dan Welson Sim.
“Pelantikan ini dibuat untuk tempoh kontrak selama setahun dan kami jangkakan melalui pelancaran ini, kad koleksi emas ini akan mendapat sambutan baik daripada para peminat ahli sukan in dan juga kepada mereka yang suka melabur dalam emas,” katanya pada majlis pelancaran koleksi baharu itu di Bukit Jalil baru-baru ini.
Selain itu, mengulas mengenai kad koleksi berisi emas itu, pasangan atlet yang juga suami isteri, Soon Huat dan Shevon Lai menjelaskan, inisiatif ini adalah cara bermakna untuk memperingati perjalanan sukan mereka dan membolehkan peminat berkongsi memori hasil ketekunan dan dedikasi.
Jelasnya, kad emas ini menggambarkan pengalaman unik dan bermakna bagi mereka.

“Setiap atlet melancarkan edisi individu masing-masing, memberikan peminat cenderamata peribadi yang mencerminkan bertahun-tahun dedikasi di pentas antarabangsa.
“Sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi amat penting sepanjang perjalanan kerjayanya. “Menjadi atlet masa kini memerlukan disiplin tinggi dan ketahanan mental, bukan sahaja di gelanggang tetapi juga di luar.
“Dorongan daripada peminat telah membantu saya terus bermotivasi dalam tempoh mencabar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Selain itu, Shevon Lai berkongsi pandangan bahawa, pencapaian atlet bukan sahaja diukur melalui pingat tetapi perlulah memajukan diri dan menentang batasan diri sendiri.
“Emas memerlukan masa untuk dibentuk, sama seperti perjalanan seorang atlet. Saya harap pemegang kad ini dapat merasai makna di sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, Welson Sim menekankan nilai simbolik di sebalik kad emas itu melambangkan kesabaran, ketekunan dan masa yang telah diamalkannya sejak lama dahulu.
“Emas memerlukan masa untuk dibentuk, sama seperti perjalanan seorang atlet. Saya harap pemegang kad ini dapat merasai makna di sebaliknya,” katanya. -KOSMO! ONLINE














