WASHINGTON – Berjuta-juta pengguna platform Instagram menerima e-mel penetapan semula kata laluan selepas butiran akaun mereka dikatakan bocor, lapor laman berita The Mirror semalam.
Pengguna platform media sosial itu bagaimanapun diberi amaran supaya berhati-hati sebelum mengklik atau memberi sebarang respons.
Ini kerana penjenayah siber mungkin sedang mengeksploitasi pangkalan pengguna platform berkenaan.
Pakar-pakar berkata, walaupun pengguna perlu mengelak daripada menekan butang menetapkan semula kata laluan dalam e-mel yang mencurigakan, penggodam masih memerlukan maklumat tambahan untuk berjaya mengakses akaun mereka.
Seorang penulis majalah Forbes dan pakar keselamatan siber, Davey Winder berkata, beliau antara individu yang menerima e-mel yang kelihatan sah kelmarin.
Beliau berkata, e-mel itu seolah-olah daripada Instagram yang mendakwa syarikat tersebut telah menerima permintaan untuk menetapkan semula kata laluan akaunnya.
Menurut laman berita Independent, e-mel tersebut mengandungi butang besar berwarna biru bertulis ‘reset’ atau menetap semula kata laluan.
Ia disertakan mesej: “Jika anda mengabaikan mesej ini, kata laluan anda tidak akan ditukar. Jika anda tidak meminta penetapan semula kata laluan, maklumkan kepada kami.”
Data sensitif daripada lebih 17 juta rekod Instagram dilaporkan telah dibocorkan di internet oleh seorang penggodam dikenali sebagai ‘Solonnik’.
Menurut penerbitan teknologi CyberInsider, data tersebut pada asalnya dicuri semasa kebocoran ‘Application Programming Interface’ (API) atau Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi pada tahun 2024, apabila seorang penggodam berjaya menceroboh perlindungan keselamatan standard untuk mendapatkan maklumat berkenaan.
Namun, sehingga kini, syarikat induk Instagram, Meta, masih belum mengesahkan kebocoran tersebut atau kesahihan dakwaan berkenaan. – AGENSI














