fbpx
Keadaan sebuah stesen minyak PPT di Wilayah Selatan Thailand yang terbakar susulan insiden letupan bom, awal pagi tadi. Foto IHSAN POLIS

11 stesen minyak di Selatan Thai dibom serentak awal pagi tadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NARATHIWAT, THAILAND – Sebanyak 11 buah stesen minyak di tiga Wilayah Selatan Thailand iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat, di sini digegarkan dengan letupan bom yang berlaku secara serentak pada awal pagi tadi.

Sumber Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, serangan bom berlaku kira-kira pukul 1.04 pagi itu melibatkan lima stesen minyak PPT di Narathiwat, empat buah di Yala dan dua lagi stesen minyak di Pattani.

Katanya, pihak berkuasa percaya serangan terhadap semua stesen minyak itu melibatkan lebih 50 anggota kumpulan pemberontak yang lengkap bersenjata api.

“Serangan itu dilakukan serentak di semua stesen minyak berkenaan. Kumpulan itu melepaskan tembakan ke arah kedai serbaneka terlebih dahulu sebelum meletupkan bom,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sumber itu memberitahu, lima serangan bom di Narathiwat melibatkan stesen minyak PTT di Daerah Waeng, Cho Airong, Dusung Nyor, Chanae, Tanjong Mas dan Pase Mas di Sungai Golok.

Menurutnya, empat letupan bom di Yala pula berlalu di empat stesen minyak iaitu Bannang Dama, Tha Saap, Bukehla dan Bannang Sata.

“Selain itu, dua butir bom juga diletupkan di Stesen Minyak PTT Bana di Daerah Mueang dan PTT Kapho dekat Pattani. Laporan awal mengatakan bahawa seorang anggota polis cedera, namun tiada sebarang kematian dilaporkan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak berkuasa telah mengepung semua lokasi kejadian dan Pengarah ISOC 4, Leftenan Jeneral Norathip Poynokmengarahkan semua anggota pasukan keselamatan di tiga wilayah berkenaan meningkatkan kawalan keselamatan.

Menurutnya, ISOC 4 juga telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika di kawasan terlibat kerana pihaknya percaya serangan itu bertujuan menganggu keamanan dan dilakukan kumpulan bersenjata.

“Penyokong dan pelaku seperti mengangkut, menyembunyikan, menyediakan tempat perlindungan atau menyediakan bekalan makanan kepada kumpulan tertentu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 189 Kanun Jenayah yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda tidak lebih 40,000 baht (RM5,214) atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN