PETALING JAYA – Mengagumi keperibadian Biduanita Negara, penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun menyifatkan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai insan hebat. Biarpun walau sudah berstatus legenda beliau terus meledakkan langkah dalam kerjaya seninya.
Hafiz berkata, kesungguhan serta sifat membumi dimiliki penyanyi nombor satu negara itu juga menjadikan beliau sangat istimewa.
“Saya mengenali Datuk Seri Siti Nurhaliza bukan hanya sebagai individu, tetapi sebuah pasukan.
“Walaupun beliau sudah sedia terpasak sebagai seorang legenda, tetapi apabila bekerja, seluruh pasukan beliau sangat komited.
“Benarlah bagai kata pepatah, seperti padi, semakin berisi semakin merunduk. Itulah insan hebat, Datuk Seri Siti Nurhaliza,” tulisnya dalam hantaran di Threads.
Berkongsi lanjut, komposer yang terkenal dengan karya genre kemanusiaan dan ketuhanan itu diminta Siti Nurhaliza untuk menghasilkan lagu sekitar tahun 2014.
Begitupun, melihat status penghibur tersebut, akuinya dia hanya menganggap permintaan tersebut sebagai gurauan.
“Beberapa kali saya disapa dan diminta beliau untuk menghasilkan lagu. Ketika itu, saya anggap perkara tersebut sekadar gurauan.
“Tapi ada satu acara di Putrajaya, ketika kami membuat persembahan bersama-sama, beliau benar-benar mahu mencuba menyampaikan lagu ciptaan saya.
“Kemudian saya berikan demo Mikraj Cinta,” tulisnya lagi.
Tambah Hafiz, bermula dari detik rakaman lagu Mikraj Cinta itu, kerjasama mereka menjadi lebih rancak.
Selain Mikraj Cinta, Hafiz turut menghasilkan lagu Basyirah dan Rencong, selain dipertanggungjawabkan selaku penerbit lagu serta vokal bagi beberapa karya kolaborasi Siti Nurhaliza bersama artis luar negara.
Antaranya termasuk Di Ujung Hari (bersama Ungu), Alhamdulillah (bersama Atta Halilintar dan Aurel Hermansyah), serta lagu Nadi dan Hati Yang Rindu.
Menerusi perkongsian sama, penulis lirik itu juga tidak ketinggalan menitipkan ucapan penghargaan serta doa dilancarkan Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
“Sempena Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil esok (hari ini), serta ulangtahun beliau keesokan harinya, saya ucapkan jutaan terima kasih di atas peluang yang diberikan serta semoga terus berjaya kepada beliau,” katanya.
Konsert mega bersempena tiga dekad Siti Nurhaliza dijangka bakal menghimpunkan 65,000 penonton yang turut menyaksikan penampilan Noh Salleh, Hafiz Suip, Umairah serta penyanyi Indonesia, Cakra Khan. – KOSMO! ONLINE














