JASIN – Seramai 261 individu dikenakan tindakan di bawah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selepas dikesan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya sejak 1 hingga 9 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 186 adalah rakyat tempatan manakala 75 lagi merupakan warga asing.
Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi kes-kes yang dikesan dan beberapa daripadanya telah pun dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan.
“Sebanyak 261 notis pemberitahuan kesalahan (NPK) telah dikeluarkan sehingga 9 Januari dan kita telah mendapat izin untuk pendakwaan bagi 12 kes, manakala 12 lagi telah didaftarkan untuk sebutan.
“Di Melaka, setakat semalam, seramai 20 individu didapati melanggar peraturan kebersihan termasuk 14 warga tempatan dan enam warga asing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Sambutan Hari Habitat Sedunia dan Hari Konservasi Hutan Simpan Paya Laut Edisi Eksekutif Negeri Melaka 2026 di Jeti Nelayan Sebatu, Merlimau, hari ini.
Mengulas lanjut Khalid berkata, pendekatan itu menunjukkan keberkesanan dengan jumlah sampah di kawasan tumpuan pelancongan menunjukkan pengurangan ketara, termasuk di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Pelaksanaan undang-undang sepenuhnya pada malam Ambang Tahun Baru 2026 telah mencatatkan perbezaan ketara berbanding tahun sebelumnya.
“Kami dapati jumlah longgokan sampah menurun di lokasi yang sama pada sambutan Krismas tahun lalu selepas akta ini dikuatkuasakan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat mula memahami peraturan kebersihan ditetapkan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE














