KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mendakwa kerugian lebih RM1.65 juta selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp, dipercayai dikendalikan sindiket penipuan yang menyamar sebagai syarikat pengurusan aset berpangkalan di Singapura.
Mangsa, Mr. James, 55, dari Kuala Lumpur berkata, dia mula menerima iklan pelaburan pasaran saham pada awal November tahun lalu daripada satu nombor telefon berdaftar luar negara mendakwa mewakili syarikat dari Singapura.
Menurutnya, dia kemudian berhubung dengan seorang wanita warga China yang memperkenalkan diri sebagai Sammie Ong, mendakwa bertindak sebagai ejen pelaburan dan menjanjikan pulangan sehingga 20 peratus dalam tempoh singkat.
“Saya diberi cadangan saham untuk pasaran Malaysia dan pada peringkat awal saya memperoleh keuntungan beberapa ribu ringgit melalui platform dagangan tempatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, Sammie Ong kemudiannya memperkenalkannya kepada seorang lelaki dikenali sebagai Kenny Goh, yang mendakwa sebagai pentadbir kewangan bagi program pelaburan tersebut.
Mr. James berkata, pada 21 November lalu, dia membuat pelaburan awal sebanyak RM140,000 melalui pindahan bank ke akaun atas nama JMC CPT INTRA TRADING, sebelum diarahkan memuat turun aplikasi melalui Apple App Store bagi memantau pelaburan.
“Saya turut menerima bayaran keuntungan awal sebanyak RM500, yang dikreditkan ke dalam akaun saya,” ujarnya.
Menurutnya, berikutan keuntungan awal itu, dia terus membuat pelaburan tambahan dengan melakukan 16 transaksi ke lima akaun bank berbeza dalam tempoh 3 November hingga 21 Disember tahun lalu.
“Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan oleh saya mencecah RM1,652,200,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, pada 24 Disember lalu, cubaan untuk mengeluarkan keuntungan berjumlah RM7 juta gagal sebelum dimaklumkan perlu membuat bayaran tambahan bagi tujuan pemprosesan pengeluaran.
“Masa itu saya mula sedar telah ditipu. Jumlah kerugian saya keseluruhan adalah RM1,651,700,” katanya.
Susulan itu, Mr. James membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields pada 31 Disember lalu bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Seri Michael Chong menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya kepada individu yang menjanjikan pulangan lumayan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














