KUALA LUMPUR – Restoran nasi padang milik pelawak dan penyampai radio Ajak Shiro melakar sejarah baharu apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) atas pencapaian mencatat ‘Jualan Tertinggi Jidangan Nasi Padang dalam Tempoh Satu Hari’, apabila berjaya menjual 23,674 hidangan pada 1 Januari lalu.
Menurut Ajak selaku pengasas dan pemilik Bumbu Babah, kejayaan tersebut adalah hasil sokongan luar biasa rakyat Malaysia serta komitmen pasukan di belakang tabir.
“Pencapaian ini bukan sekadar angka tetapi adalah bukti kepercayaan pelanggan terhadap jenama kami.
“Walaupun pada awalnya saya risau sama ada menu nasi padang ada orang makan atau tidak.
“Syukur ramai memberi sambutan yang hebat daripada orang ramai, sehingga kini sudah ada 40 cawangan dan ada juga jumpah jualan cecah RM5 juta” katanya.
Berkongsi cabaran sepanjang mengendalikan bisnes makanan, dia mengakui berdepan pelbagai dugaan termasuk pertikaian orang ramai menyenai status sijil halal restorannya.
“Antara cabaran terbesar ialah apabila ada pihak yang memviralkan isu sijil halal di media sosial.
“Realitinya, proses mendapatkan sijil itu memerlukan tempoh tertentu dan tidak mudah untuk diperoleh serta-merta kerana syaratnya premis perlu beroperasi sekurang-kurangnya tiga bulan.
“Perkara sama turut dialami oleh pempengaruh Khairul Aming ketika ini.
“Individu yang berilmu akan mencari jawapan secara mendalam, namun ada juga yang terus menghukum menu restoran makanan saya sebagai haram. Tapi tak mengapa ada proses yang mereka tak faham,” ujarnya.
Dalam tempoh tahun pertama operasi, Bumbu Babah telah menghidangkan lebih tiga juta hidangan nasi padang.
Jenama itu juga kerap menjadi tular di media sosial susulan barisan panjang pelanggan setiap kali pembukaan cawangan baharu, selain merekodkan lebih 200,000 keahlian setakat ini.
Terdahulu, Bumbu Babah bermula sebagai sebuah gerai kecil di medan selera Giant Batu Caves pada akhir tahun 2024.
Ajak menyasarkan untuk mencapai 60 cawangan menjelang April 2026, dengan sasaran jangka panjang sekitar 80 hingga 100 cawangan menjelang hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE














