fbpx
TEH Wei Xiang (tengah) dihukum penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan termasuk menyamar sebagai pegawai polis dan memiliki pistol tiruan.

Pembantu restoran menyamar polis, miliki pistol tiruan dihukum penjara 24 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TELUK INTAN – Seorang pembantu restoran dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan termasuk menyamar sebagai pegawai polis dan memiliki pistol tiruan, Disember lalu.

Tertuduh, Teh Wei Xiang, 21, dijatuhi hukuman itu setelah membuat pengakuan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa menyamar kepada mangsa berusia 35 tahun sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner di sebuah rumah di Bagan Ikan, Bagan Datuk pada pukul 4.10 pagi, 15 Disember 2025.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali kerana memiliki senjata tiruan berupa sepucuk pistol di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Selain itu, tertuduh juga didakwa bagi dua pertuduhan iaitu melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman mangsa dan menakutkan secara jenayah ke atas wanita terbabit dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.

Dua kesalahan yang dituduh mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu dilakukan tertuduh di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Terdahulu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Saravanan memberitahu mahkamah bahawa tertuduh membeli pistol tiruan itu melalui platform e-dagang dengan harga RM168.

Katanya, tertuduh memberitahu, dia menyerbu kediaman mangsa selepas mengesyaki terdapat kegiatan jual beli dadah dan mahu memberkas suspek terlebih dahulu sebelum memaklumkan kepada polis.

“Tapi malangnya yang kena tangkap adalah dirinya sendiri. Tertuduh berjanji, sekiranya ada kegiatan jual beli dadah, dia akan terus beritahu pihak polis. Dia juga memohon maaf dan minta agar dikenakan hukuman denda,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Darwis Aghniya Halim Azizi bagaimanapun memohon hukuman berat berupa penjara dikenakan terhadap tertuduh ekoran kesalahan serius yang dilakukannya kerana menyamar sebagai pegawai polis dengan membuat ugutan jenayah bagi menakutkan mangsa.

Naidatul Athirah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi kesalahan menyamar polis dan menceroboh kediaman manakala bagi ugutan jenayah dan memiliki pistol tiruan masing-masing membawa hukuman penjara dua tahun dan enam bulan

Kesemua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 5 Januari lalu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI