MARANG – Pas akan menamakan calon pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan pemimpin parti tersebut pada minggu hadapan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pemilihan tersebut ditentukan dalam mesyuarat Pas Pusat.
“Saya serah kepada (Pas) Pusat untuk pilih (calon pengerusi baharu PN). Saya sedia membantu walaupun siapa jadi pengerusi.
“Dalam Perlembagaan PN, tiada kekangan pengerusi bukan daripada presiden (parti gabungan),” katanya menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini.
Kosmo! 3 Januari lalu melaporkan Pas mengesahkan mahu mengambil alih kepimpinan PN berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin daripada jawatan pengerusi gabungan pembangkang tersebut berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi menjelaskan kelewatan menamakan calon Pengerusi PN yang baharu berkenaan disebabkan penangguhan mesyuarat majlis tertinggi gabungan pembangkang terbabit.
Beliau berkata, antara faktor penangguhan tersebut ialah ketiadaan setiausaha agung berikutan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang turut meletak jawatan.
“Tetapi dibolehkan dengan ahli-ahli yang cukup buat juga mesyuarat (Majlis Tertinggi PN),” katanya. – KOSMO! ONLINE














