fbpx
Fadhlina bercakap pada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

KPM kaji keperluan wujud semula UPSR, PT3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji semula keperluan mewujudkan kembali Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) berikutan pengaktifan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) tahun ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dapatan daripada MPPK itu seterusnya akan dibentang kepada Kabinet sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

“Kita akan mengkaji semula peperiksaan itu kerana ia masih lagi menjadi permintaan ibu bapa.

“Apa sahaja peperiksaan yang disebut ataupun maknanya yang berada dalam polemik masyarakat itu, saya minta nanti Dr. Mohd Azam Ahmad (Ketua Pengarah Pendidikan) akan memberikan pandangan dan ahli-ahli majlis penasihat itu nanti akan membincangkan.

“Dan laporan kaji selidik dan apa sahaja keputusan itu, kita akan serahkan kepada ahli Kabinet untuk dibuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan di sini tadi.

Untuk rekod, UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM mengaktifkan semula MPPK tahun ini berikutan peranan kritikal majlis itu khususnya dalam memberikan pandangan dan idea dalam konteks profesional namun tetap berpaksikan pendidikan.

Katanya, MPPK juga akan menjadi wadah pemikir strategik KPM terutamanya dalam menavigasi cabaran pendidikan masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, KPM juga akan terus bergerak maju tahun ini dengan mengutamakan keperluan rakyat dan pelajar seterusnya memberi kesan positif pada ekosistem pendidikan negara.

“Jadi secara keseluruhannya kita akan bergerak dengan lebih kemas pada tahun ini dengan mengutamakan keutamaan dan juga hasrat rakyat seterusnya memberikan kesan langsung kepada keseluruhan ekosistem pendidikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI